Bahan-bahan dan alat-alat yang diperlukan untuk membuat Wau
Saya berasa bahawa pembuatan sesebuah wau agak sulit dan memakan masa, dari kerja-kerja meraut buluh untuk dijadikan rangka, mengimbang stabilkan kepak sehingga melekatkan kertas pada rangka wau tersebut mengambil masa dua minggu untuk siap. Kita harus merangka buluh tulang belakang wau lebih besar daripada kepaknya dan diikat dengan menggunakan benang mengikut bentuk serta jenisnya.
Setelah rangka telah disiapkan tampal dengan tiga lapis kertas nipis dan lutsinar dengan berlainan warna sesuai dengan selera kita masing-masing. Lapisan pertama menggunakan kertas berkilat, lapisan kedua menggunakan warna yang berbeza dan bercorak awan larat iaitu bercorak pucuk rebung atau bunga cengkih yang telah ditebuk. Pada lapisan ketiga pula corak berlainan yang telah ditebuk ditampalkan. Di bahagian kepala atau muncungnya serta dihujung kiri dan kanan kepak, akan dihiasi dengan rambu-rambu halus yang berwarna warni. Busul akan diregangkan di bahagian belakang tengkuk wau, agar ianya mengeluarkan bunyi dengung apabila diterbangkan di udara. Busul diperbuat dari daun rembia atau mengkuang yang telah direndam dan dilurut lalu dibiarkan kering. Ia berbentuk seperti alat memanah. Tali teraju diikatkan di antara bahu kepak dan tulang belakang sebelah bawah wau bagi mengimbangi wau - Teraju Tiga.
Memang cara membuat Wau ini agak sulit, tetapi bagi saya permaianan wau ini sangat menarik dan juga wau yang telah dibuat akan bertahan lama jika dirawat dengan baik.
http://malaysiana.pnm.my/03/0314wau.htm